Thanabalan Harap Tawaran Lebih Baik Kerana Perlu Jaga Keluarga Terutamanya Ayah Yang Kini Lumpuh

Posted on

Harap tawaran lebih baik demi keluarga

PENYERANG skuad Bawah 22 (B-22) Tahun negara, N Thanabalan berkata, beliau sedia mempertimbangkan tawaran bermain di luar negara sekiranya itu dapat membantu mengubah nasib keluarganya.

Namun pemain Felcra FC itu yang menjadi watak penting ketika membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan lalu menegaskan beliau perlu meneliti beberapa faktor terlebih dahulu termasuk soal untuk menjaga bapanya yang kini terlantar sakit.

“Setakat ini saya belum mendapat apa-apa tawaran, tapi saya ada dengar khabar angin perkara tersebut melalui media. Kalau dapat tawaran bagus dari segi gaji dan sebagainya, mungkin saya akan pertimbangkan.

 “Kalau boleh saya mahu beraksi dengan pasukan yang dapat memberikan saya peluang selama 90 minit. Semestinya saya mengharapkan tawaran lebih baik kerana perlu jaga keluarga saya terutamanya ayah saya yang kini lumpuh,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Thanabalan dan lima lagi pemain skuad B-22 diintai kelab  Liga 1 Thailand selepas mereka mempamerkan aksi memberangsangkan pada KL2017.

Pemain lain ialah Muhammad Adib Zainudin,  Adam Nor Azlin (Selangor), Mohd Syamer Kutty Abba dan Muhd Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) serta pemain Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih.

Anak jati Seremban ini juga berkata, tumpuannya ketika ini ialah untuk membantu Felcra FC layak beraksi ke saingan Liga Perdana musim depan.

“Pengurusan Felcra FC banyak bantu saya dan rakan sepasukan. Jadi kami amat terhutang budi dan bertekad membantu pasukan layak beraksi ke Liga Perdana pada 2018,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *