Skuad Hodak Makin Menyengat

Posted on

Kuala Lumpur: Pasukan bimbingan Bojan Hodak semakin menyerlah di Kejohanan Bawah 18 AFF di Yangon walaupun mereka hanya menguasai 40 peratus daripada apa yang diajar.

Mereka yang mara ke separuh akhir meskipun hanya mempunyai dua minggu latihan pusat, mengungguli Kumpulan A apabila meninggalkan Thailand di tempat kedua dengan perbezaan gol.

Pencabar mereka di separuh akhir hari ini hanya akan ditentukan selepas tamat aksi Kumpulan B lewat semalam.

“Daripada skala satu sampai 10, pemain saya berada di tahap keempat bermain bola sepak mengikut cara saya. Masih banyak yang perlu dipelajari,” katanya ketika dihubungi di Yangon semalam.

“Pemain saya mempunyai kualiti individu, tapi mereka belum menjadi sebuah pasukan yang baik.”

Ditanya berapa lama pasukannya akan memenuhi jangkaannya Hodak berkata: “Sesetengah pemain akan dapat menguasainya dalam tempoh beberapa hari atau minggu tapi yang lain mungkin bertahun. Malah mungkin ada yang tidak akan belajar apa-apa.

“Secara amnya, segala-galanya bergantung kepada kebolehan mereka belajar. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk membentuk pemain berkualiti tinggi.”

Pengendali dari Croatia itu berkata, pemainnya perlu menguasai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada sistem permainannya apabila beraksi untuk kelayakan Bawah 19 AFC di Korea Selatan pada 31 Oktober hingga 8 November.

Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama Korea, Indonesia, Timor Leste dan Brunei.

Hodak berkata suasana kem negara ketika ini begitu baik dan pemainnya fokus untuk perlawanan separuh akhir.

“Mereka agak kecewa selepas seri 1-1 dengan Thailand. Kami sepatutnya menang mudah perlawanan itu. Bagaimanapun, ia sebahagian daripada proses pembelajaran. Ia bakal menjadikan mereka lebih matang untuk perlawanan akan datang.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *