Kenyataan Tak Tepat Jejas Isu Gaji Kuantan FA

Posted on

KUANTAN – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan Kuantan FA sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan tunggakan gaji pemain kelab itu, kata Pengurusnya Datuk Wan Solihi Wan Hassan.

Beliau berkata perkara itu perlu dilakukan agar PFAM mendapat maklumat yang tepat dan secara langsung tidak menjejaskan imej pasukan Liga Perdana berkenaan.

“Sepatutnya pihak PFAM datang berbincang dengan kami bagi menanyakan hal ini dan sama-sama memikirkan cara terbaik menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Mereka perlu menyiasat dan mengetahui punca yang menyebabkan gaji pemain tertunggak sebelum membuat kenyataan seolah-olah kami mengabaikan tanggungjawab kami.

“Apabila membuat kenyataan tanpa usul periksa, ia memberi gambaran buruk terhadap kelab Kuantan FA sekali gus menyukarkan kami mendapatkan penajaan yang pernah dijanjikan oleh beberapa pihak sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Solihi berkata masalah tunggakan gaji dalam kalangan pemain Kuantan FA memang berlaku namun ia tidaklah kritikal sebagaimana yang tersebar di media sosial.

“Pemain kami sendiri amat terkejut apabila membaca berita di media sosial dan kenyataan pihak PFAM yang mendakwa sudah 11 bulan gaji mereka tertunggak, sedangkan jumlah tunggakan gaji dalam kalangan pemain hanya antara tiga ke enam bulan,”
Beliau berkata pihaknya akan berusaha melunaskan dua bulan tunggakan gaji pemain minggu depan dan melangsaikan keseluruhannya dalam tahun ini dengan apa cara sekalipun.

“Kami tiada langsung niat untuk lari dari tanggungjawab melangsaikan tunggakan gaji pemain dan akan berusaha sebaik mungkin menyelesaikannya secepat mungkin dan sebagai pengurus juga saya tidak mendapat apa-apa cuma lebih memikirkan kelab ini berupaya menjadi platform terbaik bagi bakat muda negeri Pahang untuk diketengahkan,” katanya.

Awal minggu ini memorandum daripada pemain Kuantan FA telah tular dalam media sosial mengenai tuntutan kepada pihak pengurusan Kuantan FA bagi menyelesaikan isu gaji tertunggak lebih 11 bulan dan semalam PFAM mengesahkan sudah menerima menerima surat aduan daripada pemain yang akan akan memanjangkan isu itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden PFAM Hairuddin Omar pernah mendedahkan masalah sama yang dihadapi pasukan Kuantan FA dalam satu forum baru-baru ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *