Idris Akur Keputusan Kerajaan Tak Terima Pelarian Rohingya

Posted on

Anggota Dewan Undangan Negeri Muara Tuang Datuk Idris Buang berkata beliau akur dengan keputusan kerajaan negeri Sarawak yang tidak akan menerima pelarian Rohingya.

“Saya terima keputusan itu, khususnya keputusan ketua menteri dan anggota Kabinet beliau,” katanya yang sebelum ini mencadangkan agar pelarian Rohingya diberi penempatan sementara (kem pelarian) di Sarawak dengan kawalan ketat.

Cadangan beliau itu menerima bantahan keras daripada rakyat negeri ini, diikuti jaminan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa Sarawak tidak akan memberi tempat kepada pelarian Rohingya.

Idris bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tetap berpegang dengan pendirian dan pandangan peribadinya kerana ia datang dari lubuk hatinya serta kepercayaannya tentang nilai kemanusiaan dan hak asasi manusia, undang-undang serta keadilan.

“Seterusnya, ia dibuat atas dasar kasih sayang terhadap sesama manusia dan saudara seagama yang mengalami kesusahan serta hak mereka untuk terus hidup sebagai manusia,” katanya sambil menyatakan bahawa dia berpuas hati kerana telah menyuarakan apa yang terkandung dalam fikirannya.

“Malah, walau nyawa saya sendiri berada dalam bahaya kerana ada pihak yang membuat ancaman, saya tidak akan mengalah,” katanya.

Idris berkata beliau sekeluarga dan beberapa sahabat handai telah menunaikan tanggungjawab mereka membantu anggota masyarakat Rohingya yang terusir dari kampung halaman masing-masing dengan menyalurkan derma secara dalam talian.

“Itu sahajalah yang dapat kami lakukan ketika ini dan saya merayu kepada mereka yang ingin membantu supaya mengambil langkah serupa,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *