Bukan Sebab SSM: 705,562 Pemohon Bakal Terima BR1M

Posted on

KUALA LUMPUR: Seramai 705,562 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonan atas alasan mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bakal menerima bantuan tersebut pada minggu hadapan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata jumlah tersebut merupakan mereka yang pernah menerima BR1M tahun lalu dan telah awal mendaftar dengan SSM.

Namun, tegasnya jika mereka gagal mengemukakan penyata kewangan atau lampiran pendapatan, mereka tidak akan menerima baki bantuan tersebut pada Jun hadapan.

“Dia (pemohon) isi borang tapi tidak ada pengesahan dokumen dan apabila dokumen tidak ada macam mana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hendak proses.

“Sebenarnya sudah maklumkan pada LHDN, mansuhkan SSM tersebut. Tidak perlu nyatakan permohonan ditolak kerana SSM, tidak perlu. Hanya letakkan maklumat tambahan,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Ujarnya, maklumat tambahan yang diperlukan termasuk lampiran penyata kewangan mahupun salinan buku bank yang boleh menjadi bukti pengesahan pendapatan pemohon.

Tambahnya, Kementerian Kewangan tidak pernah menghalang mana-mana rakyat Malaysia untuk berdaftar dengan SSM dan menjalankan pernigaan.

Sebaliknya, Kerajaan amat menggalakkan terutama mereka yang berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan.

“Saya hendak galakkan mereka yang berpendapatan rendah ini berniaga, tidak kira dalam talian atau apa sahaja. Kita menggalakkan mereka untuk menjadi usahawan.

“Saya tidak akan membiarkan mereka berhenti menjadi usahawan atas alasan tidak mendapat BR1M. Itu yang saya hendak jelaskan kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial isu permohonan BR1M yang ditolak atas alasan mendaftar dengan SSM.

Malah, pemohon mempersoal mengapa menerima bantuan tersebut tahun sebelum ini tetapi ditolak permohonan pada tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *