Apa Boleh Kita Belajar Daripada Insiden Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah?

Posted on
Apa Boleh Kita Belajar Daripada Insiden Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah?

Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah didapati tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan. (Gambar: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia) – Facebook)

Kejadian lebih 20 pelajar tahfiz terkorban dalam insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara awal pagi ini menyayat hati seluruh rakyat Malaysia. 

Lebih menyayat hati apabila Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan kesemua 24 mangsa yang terkorban dalam kebakaran itu ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih antara satu sama lain.

Kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian pintu masuk sekolah itu. Ironinya, pusat tahfiz itu dilaporkan hanya mempunyai satu pintu keluar masuk sahaja. 

Keadaan itu menyebabkan mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri. Tingkap di sekolah itu juga dilaporkan tidak mempunyai aspek keselamatan yang membolehkan ia digunakan sewaktu kecemasan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pula mengesahkan Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di tersebut didapati tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan. 

Kejadian itu sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di sekolah-sekolah agama yang semakin banyak diwujudkan di negara ini sejak beberapa tahun lalu. 

30 PUSAT TAHFIZ TERBAKAR DALAM TEMPOH TIGA BULAN 

Di sebalik kejadian terbaru ini, apa yang lebih memeranjatkan sebenarnya adalah kenyataan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) mendedahkan 30 pusat tahfiz, sekolah pondok dan madrasah dilaporkan mengalami insiden kebakaran dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. 

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan insiden 30 pusat tahfiz, sekolah pondok dan madrasah terbakar itu bukan sahaja mengancam keselamatan penghuninya, malah menyebabkan kerugian lebih RM1.4 juta.

Beliau turut mendedahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada Ogos lalu pernah menyatakan kebimbangan mengenai kejadian kebakaran di sekolah-sekolah tahfiz memandangkan sebanyak 211 kebakaran dilaporkan sejak tahun 2015.

Beliau juga memberi contoh pada awal Ogos lalu, seramai 16 orang termasuk lapan pelajar tahfiz nyaris maut dalam kebakaran di Tahfiz Al- Taqwa di Baling, Kedah. 

Pada 7 Mei lalu pula, kebakaran dilaporkan berlaku di sekolah tahfiz lain di Sabak Bernam, Selangor pada awal pagi api tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Beliau turut mengingatkan pada 29 September 1989, seramai 27 pelajar perempuan SAR Taufikiah Al- Halimiah di Kedah terkorban apabila api meranapkan sekolah dan asrama yang diperbuat daripada kayu tersebut. 

“Saya telah acapkali menyatakan kebimbangan tentang aspek keselamatan di sekolah agama kerana banyak di antara mereka tidak berdaftar. 

“Kejadian terbaru ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua dan sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji isu ini secara mendalam dan mencari penyelesaian terbaik,” katanya. 

PASTIKAN SEKOLAH TAHFIZ BERDAFTAR 

Tambahnya, terdapat 519 sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara sehingga April lalu. Bagaimanapun, Niosh percaya lebih banyak yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan. 

Justeru, beliau menyarankan Kabinet seharusnya membincangkan isu ini dan memperkenalkan polisi khusus untuk memastikan keselamatan di sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara.

“Kementerian Pendidikan sebelum ini dilaporkan sukar untuk memantau dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan sekolah tahfiz dan pelajar mereka kerana kebanyakan mereka tidak berdaftar. 

“Oleh itu, saya berpendapat semua pengendali sekolah agama di negara ini perlu diwajibkan untuk mendaftar dengan Kementerian Pendidikan atau jabatan agama untuk meningkatkan tahap keselamatan mereka,” katanya.

WAJIB AUDIT KESELAMATAN 

Menurut Lam Thye, sekiranya semua pusat tahfiz berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, ia memudahkan kerajaan untuk melaksanakan audit keselamatan secara komprehenaif ke atas pusat-pusat tahfiz terbabit. 

Ujarnya, pihak berkuasa perlu juga menjalankan pemeriksaan keselamatan setiap tahun di setiap sekolah terbabit terutama yang berusia lebih daripada 20 tahun. 

“Audit tersebut harus melibatkan semua bangunan dan kemudahan. Pihak berkuasa yang menjalankan audit tersebut juga perlu mengenal pasti tahap keselamatan sekolah termasuk bahaya kebakaran. 

“Jika audit tersebut mendapati aspek keselamatan sekolah telah dikompromi, tindakan segera boleh diambil untuk membetulkan keadaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *