‘Abah Nak Tidur’

Posted on

Batu Pahat: “Mesej dikirim melalui aplikasi WhatsApp daripada arwah bapa mengatakan ‘abah tidur sekarang’ rupanya petanda dia akan pergi meninggalkan kami selamanya,” kata Nur Suhada, 30, anak jemaah haji, Sulaiman Arjan, 60, yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah, 5 September lalu.

Sulaiman dari Taman Sri Damai, Rengit, di sini, disahkan meninggal dunia jam 11.30 malam waktu Malaysia.

Terdahulu, Sulaiman mengirim mesej kepada kumpulan WhatsApp keluarganya sebelum dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital di Makkah akibat jangkitan kuman di paru-paru beberapa jam kemudian.

Nur Suhada berkata, arwah yang menghidap barah hidung tahap tiga berangkat ke Tanah Suci Makkah 23 Ogos lalu.

“Kali terakhir arwah abah mengirim mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga memberitahu begnya hilang di Mina, dia memaklumkan beg itu mungkin boleh ditemui.

“Pada masa sama, mesej itu tidak dibalas ahli keluarga termasuk kata-kata abah tidur sekarang kerana kami lewat menerimanya.

“Kiriman mesej terakhir abah masuk ke dalam kumpulan WhatsApp jam 3.30 petang, dua jam selepas abah dimasukkan ke ICU,” katanya, semalam.

Nur Suhada berkata demikian ketika kunjungan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) Tan Sri Mohamad Aziz yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Nur Suhada berkata, arwah bapanya ada menyatakan hasrat meninggal dunia di Tanah Suci Makkah sebelum berangkat.

“Jenazah abah dikebumikan di Tanah Perkuburan Syari’e di Makkah dan dia sepatutnya dijadualkan pulang bersama ibu, Salmah Ismail berusia 59 tahun 4 Oktober ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *